Assalamualaikum w.b.t…
@ BismiLLAH hir Rahman nir Rahim @

syahidPendapat 1: —————————————
Persoalan :
Khutubah Jumaat minggu lalu menyebutkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa wira yang negara yang terkorban di Sabah sebagai syahid akhirat . Boleh ustad jelaskan apa yang dimaksudkan syahid akhirat?

Jawapan :
Mati syahid adalah kurniaan yang paling berharga terhadap sesiapa saja yang dipilih oleh Allah swt. Ganjaran untuk orang yang mati syahid sangat besar sehingga dicemburui oleh manusia lain di padang Mahsyar.

Ulama mengkategorikan orang yang mati syahid kepada tiga bahagian berdasarkan rumusan hadis-hadis Rasullulah berkenaan orang yang mati syahid . Nabi saw sendiri tidak menamakan setiap kategori dengan istilah khusus seperti mana dinyatakan ulama.

Syahid Dunia Akhirat
Pertama, syahid dunia akhirat adalah darjat tertinggi dimana orang yang mati syahid ini tidak dimandikan , tidak dikafankan dan tidak di sembahyangkan. Mereka akan dikebumikan bersama pakaian dan darah yang masih ada pada tubuh badan mereka.

Di hari akhirat mereka akan dibangkitkan dengan darah yang masih merah tetapi darah itu berbau sangat harum sehingga manusia lain di padang Mahsyar sangat senang dengan mereka. Golongan ini adalah golongan yang terkorban kerana mempertahankan agama di medan jihad menentang orang kafir.

Ulama meletakkan beberapa syarat untuk kategori syahid dunia akhirat antaranya perang itu adalah perang yang diistiharkan oleh pemerintah Islam menentang golongan kafir di medan jihad. Perang saudara sesama umat islam tidak dikategorikan dalam bahagian ini . Begitu juga antara orang islam dengan bukan islam tetapi bukan sebab agama seperti rusuhan kaum berebut kawasan, pertikaian berhubung dasar, polisi tertentu dan sebagainya.

Syahid Akhirat
Kedua, syahid akhirat yang diberi limpahan kurnia yang besar daripada Allah swt di alam barzakh serta hari akhirat. Cuma mereka diuruskan seperti jenazah orang mati biasa, dimandikan,dikafankan dan disembahyangkan. Imam al-Sayuti menyenaraikan 30 golongan yang mati syahiddalam kategori ini bahkan ada sebahagian ulama lain sehingga 50 golongan.

Kategori ini berdasarkan Hadis nabi saw ketika baginda bertanya kepada sahabat;”Siapa yang kamu kira sebagai syahid? Mereka menjawab : Orang yang terbunuh di medan jihad fi sabillilah .Baginda menjawab : Jika begitu sungguh sedikit syuhada daripada kalangan umatku, sesiapa yang dibunuh pada jalan Allah adalah syahid,sesiapa yang terkorban (seperti kemalangan, terkena tembakan rakan sendiri dan sebagainya) di jalan Allah adalah syahid, sesiapa yang mati kerana taun,kerana sakit dalam perut, kerana lemas adalah syahid. ”

(Riwayat Muslim)Dalam riwayat lain, golongan mati terbakar, ditimpa runtuhan, mati bersalin, mati mempertahankan harta,maruah diri dan keluarga juga dikira sebagai mati syahid akhirat. Dalam hal ini, sudah tentu anggota keselamatan kita yang terkorban kerana mempertahankan keutuhan dan kedaulatan negara mati syahid namun dikategorikan sebagai syahid akhirat.

Oleh kerana itu kita lihat jenazah mereka dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan seperti biasa tetapi hakikatnya mereka adalah syuhada di sisi Allah jika niat dan perlakuan mereka ikhlas serta tulus kerana Allah swt.

Syahid Dunia
Ketiganya, syahid dunia iaitu mereka yang tebunuh di medan jihad fi sabilillah tetapi niat bukan untuk mempertahankan agama sebaliknya semata-mata menunjukkan kemegahan diri, kaum atau bangsa. Boleh jadi mereka yang membuat onar di medan jihad seperti di zaman rasullulah di mana ada pejuang dalam diam yang menyembunyikan harta rampasan perang untuk kepentingan diri sendiri.

Jenazah diurus seperti syuhada Golongan ini pada pandangan mata kasar adalah syahid, diuruskan seperti syuhada yang lain, tidak dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan tetapi hakikatnya di sisi Allah mereka adalah pengkianat. Golongan seperti di bawa ke hadapan pengadilan Allah lalu Allah swt berfirman: “Engkau berkata dusta, engkau berperang supaya dikatakan seorang yang berani, dan memang engkau telah mendapat pujian itu, lalu ia diseret dan dihumban ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim)

Semoga kita dikurniakan hati yang suci dalam melaksanakan apa saja amalan dengan ikhlas serta jujur supaya diterima oleh Allah swt.

Petikan : BH, Azhar Abdul Wahab

Pendapat 2: ———————————————————————-

Dalam kitab-kitab fiqah menyebut syahid itu terbahagi dua iaitu jenis berperang dan jenis tidak berperang.

Jenis berperang terbahagi kepada :
i. Syahid dunia dan akhirat, iaitu mereka yang mati dalam peperangan kerana menegak agama Islam dengan ikhlas tanpa berhajat untuk membolot harta rampasan dalam peperangan itu.

ii. Syahid dunia, iaitu mereka yang mati dalam peperangan dengan tujuan utamanya untuk membolot harta rampasan di samping berperang menegak agama Islam.

iii. Jenis tidak berperang iaitu mereka yang mati kebakaran, mati serta merta terkena wabak, mati beranak, mati sedang belajar dan lain-lain lagi.

Hukum ke atas mati syahid bahagian (i) dan (ii) tidaklah wajib disembahyangkan dan dimandikan sekalipun berada dalam hadas kecil ataupun besar. Sebagaimana arahan Rasulullah ke atas para syuhada perang Uhud.

Sabda baginda, maksudnya :
“Jangan kamu mandikan mereka kerana setiap luka dan darah itu adalah wangi semerbak di hari Kiamat dan tidaklah payah sembahyang ke atas jenazah mereka.”

Jadi kepada mereka ini dua perkara yang wajib dikerjakan iaitu kapan dan kebumian. Disunatkan mengkapan bersama-sama pakaian yang dipakai semasa mati dalam peperangan itu.

Adapun syahid akhirat, mereka akan mendapat pahala di akhirat kelak semasa di dunia ia perlu dilaksanakan sebagai orang mati biasa dengan wajib mandi, kapan, sembahyang dan dikebumikan.

Pendapat 3:———————————————————————

Orang yang mati syahid sebenarnya ada 3 golongan iaitu syahid pada hukum dunia dan Akhirat, syahid pada hukum dunia dan syahid pada hukum Akhirat. 

Syahid dunia dan Akhirat ialah syahid dalam pertempuran menentang musuh di medan pertempuran kerana menegakkan kalimah Allah. Orang yang mati syahid sebegini tidak perlu dimandikan dan tidak perlu disolatkan menurut jumhur ulamak. Di Akhirat nanti ia akan memperolehi balasan istimewa dari Allah SWT. Ia juga selamat dari soal kubur.

Syahid pada hukum dunia ialah orang yang mati kerana berperang menentang orang-orang kafir tetapi telahpun mendapat gaji dari peperangan yang dilakukannya atau mendapat bahagian harta rampasan dari peperangan tersebut atau orang yang mati kerana memerangi golongan kafir dalam keadaan riya’ dan lain-lain.

Syahid pada hukum Akhirat ialah seperti orang yang dibunuh secara zalim, orang yang mati kerana mengalami penyakit dalam perut, orang yang mati kerana penyakit taun, orang yang mati tenggelam, orang yang mati dalam keadaan dagang / musafir, orang yang mati dalam keadaan menuntut ilmu, orang yang mati kerana menahan rindu, mati kerana melahirkan anak dan sebagainya. Di dunia orang ini dikafan dan disolatkan. Di Akhirat ia akan mendapat pahala khusus dari Allah.

———————————————————————————————————————————
Note: Sila tekan LIKE pada Facebook CeritaKita.Coz yang berada diatas kanan blog ni tanda ke Supportan rakan2 dan dlm masa yang sama memberi semangat pada Admin utk terus menghidupkan pengsharingan ni :) Jika ada sebarang kekurangan sila berikan pendapat dan komen Anda di FB nanti yaaa…
p/s: Segala komentar yang Anda berikan disini merupakan tanggungjawab diri Anda sendiri.. Harap Maklum…
———————————————————————————————————————————-
Malaysia Web Hosting

Comments