kekalTimbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Bin Yaakob menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan tidak pernah meluluskan tanah kepada mana-mana pemimpin DAP sebagaimana yang diheboh-hebohkan oleh media arus perdana. Apa yang berlaku ialah fakta sebenar telah diselewengkan oleh musuh politik Kerajaan Kelantan bagi tujuan membangkitkan kemarahan rakyat  khususnya bangsa Melayu dan umat Islam.

Tanah yang dikatakan seluas 12,000 ekar itu  terletak dalam kawasan Hutan Simpan Relai, Gua Musang, telah diberi secara konsesi penggunaannya kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk dibangunkan di bawah program Ladang Hutan. Ini kerana mengikut peraturan yang telah ditetapkan, mana-mana tanah yang dirizabkan sebagai kawasan Hutan Simpan tidak boleh diberi milik, dipajak atau digadai.

Namun, sebagai agensi yang tidak memiliki kepakaran dan peralatan untuk membangunkan ladang hutan, Yayasan Islam Kelantan telah memilih secara tender terbuka untuk mencari rakan kongsi. Pada awalnya, syarikat yang berjaya memenangi tender tersebut ialah Terajati Sdn. Bhd. Namun setelah separuh jalan, syarikat tersebut gagal memenuhi syarat-syarat yang dipersetujui dan Yayasan Islam Kelantan telah menamatkan tawarannya yang mana kemudiannya diperakukan kepada penender kedua iaitu Syarikat Upaya Padu Sdn. Bhd. untuk mengambil alih.

Syarikat Upaya Padu Sdn. Bhd. pada awalnya ini dimiliki oleh pemimpin MCA dan BN Pahang. Namun beberapa tahun kemudiannya, syarikat Upaya Padu Sdn. Bhd. telah melakukan perubahan organisasi dalaman yang mana di luar pengetahuan Yayasan Islam Kelantan. Difahamkan saham terbesar syarikat tersebut telah berpindah kepada individu yang kebetulannya pemimpin  DAP.

Sementara itu, di dalam satu kenyataan lain, Pengerusi Lujnah Guaman PAS Kelantan, Hisham Fauzi, memberitahu bahawa pihaknya telah memfailkan saman fitnah berkaitan dengan isu ini di Mahkamah Tinggi Kota Bharu dengan menamakan blog Pisau.Net, B Kalaivana dan Utusan Malaysia sebagai defendan.

Comments